BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, September 18, 2008

Sedikit Perubahan

Salam,

Kepada semua MGP, saya mohon maaf kerana terdapat sedikit perubahan kepada program Hari Raya yang akan kita adakan pada 11 Okt ini. Perubahan tersebut melibatkan:

Tarikh: 11 Okt 2008 (Sabtu) Tidak berubah
Tempat: Pasti Al Firdaus (sebelum ini An-Nur)
Masa: 3pm - 5pm (sebelum ini 9am - 1 t/hari)

Ini adalah permintaan daripada ajk Pasti Kawasan untuk kemudahan kita bersama. Dengan perubahan ini, tuan rumah Pasti Al Firdaus ditugaskan untuk menyediakan air. Dengar desas desus cikgu Almawardi juga minta untuk tukar menu, mungkin ada lagi beberapa perubahan kecil selepas ini.

Mgp kawasan Puchong akan mengadakan mesyuarat berkaitan perkara ini dan dan peperiksaan akhir tahun. Detailnya seperti di bawah:

Tempat: Pasti As-Syifaa
Tarikh: 6 Okt 2008 (selasa)
Masa: 3 pm

Diharap sangat agar MGP semua dapat hadir untuk memudahkan program yang akan kita sama2 adakan.

Thursday, September 11, 2008

TUGASAN BENGKEL MGP

Tugasan Sempena Jamuan Hari Raya MGP Kawasan Puchong

Tuesday, September 9, 2008

Mendidik Anak Kecil Berpuasa

Beri ganjaran berpatutan

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

Si kecil mula bertanya tentang persiapan dan perkara yang perlu dilakukan sebaik sahaja Ramadan menjelang. Apakah yang perlu dilakukan ibu bapa untuk melatih anak berpuasa?



LATIHLAH si kecil berpuasa seawal usia 5 tahun.


PEPATAH Melayu sering mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ungkapan lama itu wajar menjadi pegangan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Berpuasa, antara ibadat yang wajar dilatih sejak kecil lagi.

Ia bagi membiasakan diri anak-anak dalam mengerjakan Rukun Islam yang ketiga. Namun, di sebalik menunaikan tuntutan-Nya ini, masih ramai ibu bapa tidak mengetahui apakah kaedah terbaik bagi mendidik si kecil agar menunaikan kewajipan berpuasa.

"Ayah, betul ke siapa yang tak puasa, tak boleh sambut hari raya?" atau "Perlu ke... adik berpuasa? Macam mana nak tahan lapar sepanjang hari" atau "Tak tahan tengok kawan-kawan adik makan di sekolah waktu rehat tadi," merupakan antara kata-kata yang seringkali keluar dari mulut seorang kanak-kanak sebaik sahaja Ramadan tiba.

Persoalannya, bagaimana hendak menerangkan pengertian sebenar Ramadan kepada anak-anak kecil? Lebih-lebih lagi apabila mereka mula bertanyakan tentang persiapan dan perkara yang perlu dilakukan?

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Amaludin Abdul Rahman, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjelaskan kepada anak-anak tentang pengertian sebenar bulan yang penuh kemuliaan ini.

"Puasa bermakna menahan diri daripada makan minum dan perkara yang membatalkan puasa. Mendidik anak-anak bukan sahaja dari aspek makan minum semata-mata, tetapi ibu bapa juga perlu menerapkan adab-adab orang berpuasa seperti tidak meludah, menguruskan masa dengan bijak, tidak melihat dan mendengar perkara keji atau buruk, menjauhi perbuatan haram dan mengehadkan tidur pada waktu siang," jelasnya di awal bicara.

Semua umat Islam katanya, diwajibkan berpuasa kerana ia merupakan amalan umat Islam terdahulu (diwajibkan pada tahun kedua Hijrah). Amalan puasa wajib merupakan salah satu cara untuk mendidik diri supaya sentiasa merendah diri, sabar, tanda ketinggian iman dan kemuncak amalan takwa.

Ditanya mengenai langkah paling berkesan untuk mendidik anak-anak kecil agar berpuasa, Amaludin berkata, untuk mendidik anak-anak berpuasa bukanlah semudah yang disangka.

MEREKA juga seharusnya dilatih supaya menghormati kawan-kawan lain yang mula berpuasa.

Katanya, ibu bapa seharusnya melihat pada suasana dan bagaimana anak dibesarkan.

"Anak-anak memerlukan dorongan yang kuat daripada ibu bapa dan persekitaran yang dilalui mereka. Jika mereka sudah bersekolah, kebiasaannya mereka akan membawa bekal.

"Jadi, beberapa hari sebelum Ramadan, ibu bapa boleh berhenti menyediakan bekalan makanan kepada anak-anak.

"Ajak dan pastikan anak-anak bangun sahur. Buat permulaannya, mungkin amat berat bagi mereka untuk bangun dan makan sahur, tetapi lama-kelamaan mungkin mereka akan seronok," jelasnya sambil menekankan kepentingan bersahur bertujuan sebagai persiapan untuk hari esok serta mengelakkan diri daripada diserang kembung perut.



Pada masa kini, kanak-kanak mudah berfikir. Didiklah mereka supaya mempunyai rasa malu kepada kawan-kawan di sekolah apabila membawa bekalan makanan.

"Anak-anak juga boleh dilatih supaya menghormati kawan-kawan lain yang mula berpuasa.

"Latihlah anak-anak berpuasa secara berperingkat. Namun, kebanyakannya bergantung kepada semangat dan kekuatan peribadi anak-anak itu sendiri. Sebagai permulaan, kita boleh mulakan agar anak-anak berpuasa separuh hari sahaja.

"Sekiranya anak-anak berasa tidak sabar untuk berbuka, biarlah mereka berbuka. Tetapi untuk menggalakkan mereka menghabiskan berpuasa sepanjang hari, biar mereka merasakan keseronokan sewaktu berbuka.

"Contohnya, bawalah anak-anak bersama ke Bazar Ramadan. Beri peluang kepada mereka untuk memilih juadah yang mereka gemari. Ini sebagai galakan untuk timbul rasa seronok dan tidak berfikir untuk berbuka," katanya.

Mengenai umur kanak-kanak yang seharusnya diajar berpuasa, katanya lagi, mereka sewajarnya dilatih sejak usia 5 hingga 6 tahun.

Selain itu juga, pemikiran anak-anak perlu diterapkan dengan didikan agama, supaya Ramadan tidak dijadikan sebagai pesta bunga api dan mercun.

Ditanya mengenai adakah unsur ganjaran perlu dipraktikkan dalam kalangan anak-anak sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa, Amaludin berkata:

"Antara cara yang boleh dilakukan ialah memuji dan memberi ganjaran kepada anak-anak. Ini diharap dapat menambat hati mereka. Tetapi, biarlah berpatutan.

"Cara mudah adalah dengan memberi wang saku ketika mereka ke sekolah. Namun, pada bulan Ramadan ini, wang saku tersebut boleh diteruskan dan mintalah anak-anak menyimpan.

"Jika berkesan, jumlahnya boleh ditingkatkan atau digandakan sebagai pendorong kepada anak-anak untuk terus menyimpannya.

"Selain itu, apabila menjelang Syawal, anak-anak akan dibekalkan dengan pakaian baru. Oleh itu, si kecil yang berjaya berpuasa sebaiknya diberi pilihan istimewa untuk memilih pakaian atau barangan yang diperlukan.

"Mungkin pada awalnya mereka telah mendapat ganjarannya tetapi, apabila meningkat dewasa, kebaikan berpuasa itu boleh dirasainya sendiri," katanya.