BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, May 30, 2010

KONVENSYEN MAJLIS PERMUAFAKATAN TADIKA SELANGOR(MPTS)

Alhamdulillah seramai 18 orang guru dari kawasan Puchong telah hadir ke Konvensyen Permuafakatan Tadika Selangor pada 30 Mei 2010 bertempat di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam. kalau ikutkan target 70% memang tidak mencukupi. Terdapat 2 Pasti yang tidak menghantar wakil langsung. 3 orang guru telah dijemput untuk menjadi ajk protokol dalam program ini iaitu cikgu Rusilawati, cikgu Afifah dan saya sendiri.


Sambutan Hari Guru Pasti Selangor 2010


23 Mei 2010- Bertemakan Guru memimpin Perubahan Ummah serta warna tema hijau, PASTI Selangor telah mengadakan sambutan hari guru PASTI peringkat Negeri Selangor dengan gilang gemilangnya bertempat di Ruang Lobi Utama Menara Majlis Perbandaran Selayang, Selangor. Majlis yang bermula jam 11 pagi ini dirasmikan oleh Ustaz Kamal Ashaari selaku Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat. Turut hadir pada majlis ini adalah, Wakil ALP PASTI Malaysia, Barisan ALP PASTI Negeri Selangor, Pengerusi PASTI Kawasan, MGP Negeri Selangor, dan para guru dari 22 PASTI Kawasan dalam Negeri Selangor

Seramai 21 orang guru cemerlang dari 21 PASTI kawasan telah menerima Anugerah Guru Cemerlang Kawasan berdasarkan penilaian ALP PASTI kawasan masing-masing. Guru-guru cemerlang peringkat kawasan menerima plak dan sijil yang disampaikan oleh Ustaz Hasbullah selaku Pengarah PASTI Selangor. Selain itu juga terdapat penyampaian khas iaitu Anugerah Guru Perkihdmatan Setia, Anugerah Tokoh Guru PASTI Negeri Selangor dan Anugerah Tokoh PASTI Negeri Selangor. Bagi anugerah tokoh guru dan tokoh PASTI masing-masing menerima, sejambak bunga, piala iringan, sepasang persalinan, sijil, plak dan saguhati. 

Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan oleh Ustaz Akhwan Afendi dengan alunan lagu-lagu nasyid dan diselang-selikan nasihat-nasihat serta jenaka buat tetamu yang hadir. Cabutan berkat juga turut disediakan bagi para guru yang hadir pada majlis ini. Majlis selesai jam 2.15petang dengan aktiviti bergambar oleh para guru dan tetamu yang hadir. Disini PASTI Selangor mengucapkan Selamat Hari Guru pada seluruh warga guru PASTI di Selangor. PASTI Selangor juga mengucapkan tahniah dan terima kasih pada PASTI kawasan Gombak kerana berjaya menjayakan Majlis Hari Guru PASTI Selangor 2010 pada hari ini. Berikut adalah senarai penerima-penerima anugerah pada sambutan hari guru PASTI Negeri Selangor 2010 pada hari ini.

Anugerah Guru Cemerlang PASTI Kawasan

  1. Ustazah Roslina bt Mat Hassan (PJU)
  2. Ustazah Umi Wasilah bt. Seamat (Sgi. Besar)
  3. Ustazah Noor Ilyani bt. Mohd Suratman (Subang)
  4. Ustazah Wan Rusmadi bt Wan Idris (Gombak)
  5. Ustazah Siti Maryati bt. Mohd Amin (Sepang)
  6. Ustazah Norazurah bt. Mohd Sidek (Klang)
  7. Ustazah Siti Aminah bt. Zaibani (Sabak Bernam)
  8. Ustazah Nor Zaihan bt. Ismail (Puchong)
  9. Ustazah Siti Zuleha bt. Sarman (Kuala Langat)
  10. Ustazah Rosnah bt. Sulaiman (Hulu Selangor)
  11. Ustazah Zainaba bt. Lalzaba (PJS)
  12. Ustazah Noriza bt. Abu Bakar (Ampang)
  13. Ustazah Jamaliah bt. Mustamar (Tnjg. Karang)
  14. Ustazah Roslinah bt. Barindi (Shah Alam)
  15. Ustazah Azizah bt. Nordin (Pandan)
  16. Ustazah Mahfudzoh bt. Abd Manaff (Serdang)
  17. Ustazah Hjh. Normah bt. Palidin (Hulu Langat)
  18. Ustazah Noraini bt. Abdul Rahman (Kota 0Raja)
  19. Ustazah Etah bt. Tugimin (Kuala Selangor)
  20. Ustazah Nora bt. Mohamad (Kapar)
  21. Ustazah Anidah bt. Ramin (Kelana Jaya)
Anugerah Perkhidmatan Setia
Ustazah Mahiran bt. Talib

Anugerah Tokoh Guru PASTI Negeri Selangor
Ustazah Fatimah bt. Daud 

Anugerah Tokoh PASTI Negeri Selangor
Ustazah Khairiah bt. Mohd 

Suassana kehadiran para guru

Antara VVIP yang hadir 

Pn. Norhayati Bt. Abdul Razak, Pengerusi MGP Negeri Selangor
memberi ucapan
Ust. Hasbullah Mohd Ridzwan, Pengarah PASTI Selangor
menyampaikan kata-kata perangsang semangat buat guru-guru
Ustaz Kamal Ashaari, Pen. Setiausaha DPPP merasmikan majlis.

Majis Guru PASTI Selangor mengetuai bacaan ikrar guru
PASTI Selangor 

Thursday, May 27, 2010

HARI GURU ANJURAN DEWAN PEMUDA PUCHONG

SUMBER: http://pemudapuchong.blogspot.com/

Guru-Guru PASTI yang ceria dan berdedikasi

Pada 22hb Mei yang lepas Dewan Pemuda PAS Puchong (DPP Puchong) meraikan seluruh guru PASTi Kawasan Puchong sempena Hari Guru. Yang bertemakan “Guru Memimpin Perubahan Ummah”

Majlis makan malam tersebut berlangsung di Restoren MAEPS Serdang. Majlis betambah meriah dengan guru-guru hadir bersama keluarga masing-masing. Selain bertujuaan memberi penghargaan kepada guru-guru, majlis ini juga dapat merapatkan ukhwah antara DPP Puchong dan seluruh guru PASTI Puchong.

Ketua Pemuda Pas Negeri Selangor dan juga merangkap Pengerusi PASTI Negeri Selangor Ustaz Hasbullah Mohd Ridwan telah sudi hadir merasmikan majlis ini dan menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada guru-guru. Turut hadir sama Timbalan Pasti Selangor, Saudara Mohd. Rozi Abdul Malek dan Ustaz Nasir Yusof, Timbalan Yang diPertua Pas Puchong.

Dalam majlis ini , Puan Norizan Hasan telah dipilih sebagai Tokoh Guru PASTi Puchong 2010 . Ketua Pemuda DPP Puchong berharap guru-guru PASTI agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendepani segala cabaran terutamanya cabaran pendidikan yang semakin banyak dan terus memperkasakan pendidikan PASTI disamping meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.


Cikgu- Cikgu Seronok dapat makan Steamboat



Ust. Nasir hadir bersama keluarga


 
Antara tetamu dari DPP Puchong yang hadir

Amanat dari KP


 Ust Hasbullah menyampaikan ucapan.
Fuuhhhh.. cantik angle gambar
kita pada malam tu dari Akhi Shau'zi.. Nice Job

Semua guru dapat hadiah pada malam tu...

Inilah Tokoh Guru kita. Kak Nor.. Tahniah Kak Nor..


Sdr Rozi, Tim PASTI Selangor menerima cenderahati dari KP


Ust. Hasbullah juga dpt cenderahati malam tu


Cikgu Syed menjadi model bunga pada malam tu.. he..he..




Kak Nor tgh posing dgn Trofi Tokoh Guru yang diterima


Bergambar beramai-ramai...

KONVENSYEN PENDIDIKAN PRASEKOLAH SELANGOR 2010

1.0 Mukadimah

Pengurusan tadika secara amnya, pengurusan kurikulum dan pengurusan kokurikulum serta jalinan perhubungan antara komuniti dengan tadika setempat menjadi semakin mencabar untuk diuruskan dari sehari ke sehari. Di Malaysia, kemajuan pendidikan prasekolah berkembang secara perlahan, sebaliknya pengendalian tadika dibiarkan berjalan atas inisiatif orang perseorangan, organisasi, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) khususnya berasaskan agama dan dakwah serta parti-parti politik. Hanya semenjak satu dua darsawarsa ini sahajalah pihak pemerintah mula untuk menyelaraskan kemajuan tadika-tadika seluruh negara. Tugas ini bukannya mudah setelah wujud pelbagai lompang dan kekangan yang menghalang kemajuan sesebuah tadika. Dalam konteks Selangor Negeri Maju, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Pakatan Rakyat membantu menjadikan Selangor sebagai ”Hub Ilmuan” yang efektif, cekap dan berkesan menerusi platform Majlis Pemuafakatan Tadika Selangor (MPTS). Tugas MPTS sebagai sekretariat yang ditubuhkan oleh Pengerusi Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan bukan bertujuan untuk merekayasakan (reengineering) pengurusan tetapi mengadunkan keunikan sejarah penubuhan tadika ini khususnya di Selangor ini kepada suatu aset yang sangat bernilai dan berharga untuk dibangunkan. Selain itu, sekretariat ini akan bertindak untuk memastikan kemajuan prasekolah Selangor dapat dipacu sebaik-baiknya menerusi program-program yang disusun dalam kalendar pendidikan Selangor bagi memastikan anak-anak prasekolah, guru-guru, ibu bapa dan komuniti Selangor dapat dibela dan diberi tunjuk ajar untuk membangun modal insan mereka. Akhirnya nanti akan lahirlah warga Selangor warga yang memiliki modal insan yang terpuji, baik dan dikagumi oleh rakyat dan diredai oleh Tuhan.

2.0 Objektif

2.1 Meningkatkan kerjasama dan ukhwah dalam kalangan guru dan pengurus tadika Selangor dan keanggotaan mereka menerusi platform Majlis Pemuafakatan Tadika Selangor (MPTS).
2.2 Mendedahkan cabaran pengurusan dan pelan bertindak kemajuan tadika Selangor di awal dasawarsa milenium baru.
2.3 Memantapkan program pembangunan modal insan pengurus dan guru tadika Selangor menerusi model SPIES Kerajaan Negeri Selangor.
2.4 Meningkatkan keupayaan tadika Selangor sebagai sebahagian daripada entiti penyampaian maklumat (delivery system) Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkasa hubungan antara Kerajaan Negeri dengan rakyat Selangor.


3.0 Tema Program
Tema Konvensyen Pendidikan Prasekolah Selangor kali pertama tahun 2010 ialah ”Kecemerlangan Pendidikan Pra-sekolah Selangor melalui modul SPIES”
Subtema: ”MPTS Pemangkin Kecemerlangan Pendidikan Pra-sekolah Selangor”

4.0 Tarikh Program
Tarikh pelaksanaan program ialah pada 30 Mei 2010 (Sabtu).

5.0 Tempat Program
Cadangan tempat pelaksanaan program ialah di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

6.0 Anjuran & Kawalan Program
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dengan kerjasama Majlis Pemuafakatan Tadika Selangor (MPTS). Program ini dilaksanakan sepenuhnya oleh jawaankuasa ad-hoc program di bawah pengawasan dan kawalan MPTS dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

7.0 Aturcara Program
(Rujuk Lampiran A)

8.0 Jawatankuasa Program
(Rujuk Lampiran B)


9.0 Penilaian Program
Keberkesanan program akan dinilai berdasarkan beberapa aspek;
9.1 Keberkesanan mesyuarat jawatankuasa adhoc program sekurang-kurangnya dua kali (2 kali) sebelum tarikh pelaksanaan program.
9.2 Maklum balas penyertaan daripada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Kampung (JKKK) biro pendidikan, anggota MPTS, organisasi dan Jabatan Kerajaan Negeri dan swasta, IPT dan IPTS serta orang perseorangan.
9.3 Kelancaran pengurusan setiap portfolio / urusetia yang dibentuk.
9.4 Sambutan penyertaan mencapai sasaran 975 peserta (75%) daripada 1300 peserta yang dijemput hadir.
9.5 Hebahan program sampai ke semua saluran yang ditetapkan.
9.6 Maklum balas borang soal selidik yang disediakan oleh penganjur.

10.0 Penutup
Program ini diharap menjadi titik permulaan untuk menjayakan misi dan visi MPTS iaitu menjadi ”Peneraju Kecemerlangan Pendidikan Awal Negeri Selangor”. Selain itu program ini diharap dapat menjadi pemangkin untuk memajukan pendidikan prasekolah Selangor dengan langkah sederap dan fokus hala tuju yang sama oleh setiap tingkat pengurusan tadika Selangor. Dengan visi dan misi yang jelas, program pembangunan Insan dan program ilmuan negeri Selangor dapat direalisasikan.

Lampiran A (Jadual Atur Cara Program)

KONVENSYEN PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH NEGERI SELANGOR
DEWAN JUBLI PERAK
30 MEI 2010

TENTATIF PROGRAM

8.00 – 8.30 am : Pendaftaran peserta, pembentang kertas kerja dan organisasi jemputan

8.30 – 10.00 am: Ucap Utama Wakil Kerajaan Negeri Selangor :
YB Dato Dr Hassan Ali (Exco Agama, Adat Istiadat Melayu dan Infrastrukur)
Tajuk: ”Mendidik Modal Insan Selangor menjadi Warga Penyayang dan Warga Berminda Kelas Pertama.”
Moderator: Dr Ruziah Ghazali

10.15 – 10.30 am: Minum pagi / persegaran (refreshment)

10.30 – 11.30 pm: Pembentangan & Diskusi Kertas Kerja Utama:
”SPIES Kids : Peranan Kombinasi Pengusaha Tadika dan Komuniti Setempat Menyediakan Keperluan Pendidikan Sempurna Anak-anak Prasekolah Negeri Selangor.”
Oleh: Prof Madya Dr Supyan Hussin (UKM)
Moderator: Prof Madya Dr Kamaruzaman Yusuf (UKM)

11.35 – 12.35 pm: Pembentangan Kertas Kerja Kedua:
Tajuk : ”Pengalaman Makmal Pembangunan Kanak-kanak (Prasekolah) Universiti Putra Malaysia Menyediakan Keperluan Pembelajaran yang Asas dan Kaedah Pembelajaran yang Efektif.”
Oleh: Puan Nani Menon (Penyelaras Makmal Pembangunan Kanak-kanak Prasekolah, Fakulti Ekologi Universiti Putra Malaysia, UPM)
Moderator:Prof. Madya Dr Habib Mat Som (Universiti Malaya)

12.45 – 1.45 pm: Makan Tengahari & Rehat / Solat Zohor

2.00 – 4.00 pm: Forum Pendidikan Prasekolah:

Tajuk: Sekilas Pandang Profil Kemajuan Pendidikan Prasekolah Malaysia: ” Cabaran-cabaran Semasa dan Mendatang serta Kesediaan Warga Tadika Selangor Melakukan Anjakan Paradigma.”

Pemforum 1: Prof. Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub
(Fakulti Pendidikan UKM)
Pemforum 2: En Azrin Abd Majid
(Ketua Pengarah PASTI Malaysia)
Pemforum 3: Puan Patricia Teh
( Mantan Setiausaha Tadika Malaysia / Pengusaha Tadika Rangkaian Peter & Jane)
Pengerusi Forum: Prof Madya Dr Halim Tamuri (UKM)


4.00 – 5.00 pm: Ucapan Perasmian;

1. Penaung Program: Dr Halimah Ali (Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan)

2. Persembahan & Penyampaian Hadiah:

(i) Tayangan Montaj MPTS (Aktiviti Pendidikan Prasekolah Selangor – Organisasi Prasekolah Utama Selangor; Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Persatuan Tadika Islam Selangor, Tadika Agensi Kerajaan Selangor, Tadika Pertubuhan Agama dan Dakwah, Tadika Ladang dll...

(ii) Penyerahan dan Pelancaran logo MPTS

(iii) Penyampaian Hadiah Sambutan Hari Guru Selangor kepada Ketua-ketua Guru MPTS

(iv) Penyampaian Hadiah Panel Forum dan Perasmi.

5.00 : Bersurai.

Lampiran A (Jawatankuasa Program)


Penaung: Dr Halimah Ali (Pengerusi Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan)

Penasihat: Ustaz Hasbullah Bin Ridzwan

Pengarah: Sdr Roseman Bin Abdul Rahman

Timb. Pengarah: Pn Hjh Zaharah Bt Sirin

Setiausaha: Sdr Saiful Bahari Bin Khamis

Pen. Setiausaha: Pn Siti Rozita Bt Ramli

Bendahari: Sdr Rozi Bin Malik


Ahli Jawatankuasa:

Unit Protokol: 1. Pn Fauziah
Shamsul Hadi

Unit Logistik: 1. Tn Hj Jelani
Sdr Roslan

Unit Pendaftaran: 1. Pn Hjh Zaharah Bt Ahmad
Pn Maimoon Saidan Bt Ahmad

Unit Jamuan: 1. Sdr Mazlan Bin Saien
2. Pn Wan Munierah

Unit Pameran & Gerai: 1. Sdr Hafiz Bin Adzlan
Pn Junaidah

Unit Publisiti & Dokumentasi
& Persembahan Montaj: 1. Sdr Mohd Azman Bin Mahusin
Pn Rozita Bt Ramli

Unit Tajaan & Hadiah 1. Mohd Shah Mior Bin Kosin
Pn Anizah
Salimah Bt Saien

Unit Penyediaan Kertas Kerja: 1. Pn Khairiah Bt Mohammad
Pn Hjh Rahana



SUMBER;http://drhalimahali.blogspot.com/2010/05/konvensyen-pendidikan-prasekolah.html

Monday, May 17, 2010

SELAMAT HARI GURU: Sekali menjadi guru, selamanya kita Guru

Oleh: Riduan Mohamad Nor

“Selamat Hari Guru….jasamu tetap dikenang seumur hidup”.” Selamat menyambut hari guru, terimakasih kerana pernah menabur ilmu untuk kami”.

Inilah puluhan mesej yang saya terima hari ini dan mungkin ratusan untuk minggu ini, sempena Hari Guru, 16 Mei. Malangnya, tanpa hadiah kecil dan kuntuman bunga segar diatas meja .

Ada rasa hiba yang menerkam ruang sempit  dada, malah mesej ringkas yang diterima  menyeruak kembali pengalaman menjadi pendidik selama belasan tahun di Lembah Kelang ini.

Sayangnya ramai bekas anak-anak murid saya tidak tahu saya telah melepaskan jawatan secara rasmi sebagai guru, namun sekali kita menjadi guru, seumur hidup kita adalah guru.

Saya melepaskan jawatan untuk memberikan lebih perhatian kepada kerja amal Islami yang telah saya telusuri hampir dua dekad ini.

Hasan al Banna, Sheikh Ahmad Yasin, Said Ramadhan, Pak Natsir, HAMKA, Khalid Mas’al, Saed Siyyam, Said Hawwa, Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin , Ustaz Fadhil Noor dan ribuan yang lain aktivis Islam ialah para guru yang mendidik dan membina manusia. Mereka semua melepaskan jawatan demi dakwah dan perjuangan Islam.

“Saya akan terus mendidik selagi mana ada nafas, tetapi  untuk masyarakat umum, pelbagai lapisan, jika rindu pada sekolah, masuk ke sekolah untuk program motivasi” janji saya pada kak Aminah sebelum melangkah girang, keluar daripada pagar sekolah.

Melepaskan seribu bebanan tugas rutin yang menambat potensi diri untuk mara sebagai aktivis. Menghela nafas merdeka dengan segudang pengalaman sebagai pendidik muda sekaligus aktivis dakwah.

Kepada teman-teman pendidik yang masih akrab dengan buku rekod, papan putih, kursus dalaman , folio pelajar, teruskan jihad kalian untuk memberikan pencerahan kepada generasi muda kerana ditangan mereka terletak masa depan Islam yang gemilang.

Saya diserbu kenangan yang menggamit  perasaan yang bercampur , malah dihempap dengan segunung rasa bersalah apabila mengenangkan kembali masa silam terutama tahun-tahun awal sebagai pendidik.

Ya, seorang anak muda yang sarat dengan idealisme, yang melihat dunia dengan dikotomi hitam putih, iman dan kufur, Islam dan jahiliah.

1998: Goh : Remaja Hilang Bentuk, Melakar Masa Depan Niaga

“ Kamu ikut saya ke surau!” jerkah saya pada seorang pelajar Cina yang bernama Goh, mata saya melotot merah saga. “ kamu degil, kepala batu, ini semua sebab gemar makan bab……” hina saya pada Goh, tanpa berbasa basi.

Sebelum itu Goh dikurung dibawah meja saya didalam bilik guru lelaki. "Lokap ustaz Wan” gelar guru lelaki, tidak ada yang membantah dengan jeriji kecil impian saya di VI itu.

Sekolah yang juga bekas markas Jepun itu sangat sinonim dengan tradisi penderaan dan pemerkosaan hak.

Goh ketakutan seperti anak anjing yang tersimbah air longkang. Sinar matanya mendatar, egonya diluluhlantak dengan jerkahan keras saya, diringi hayunan kaki dan tangan.

Saya pula kepuasan seperti baru membentes kaki pesaing dalam acara tomoi sedunia dan melepaskan siku kencang ke muka pesaing. Pesaing pula berkubang darah, menggeletak kesakitan.

Dia, remaja yang polos, suka bercakap lepas , selekeh ala bohemian, tajam kata-kata pada sang guru. “dia belum kenal aku” raung saya dalam hati menyombong, anak Besut yang sesat di Kuala Lumpur, Bandar metpolis yang angkuh ini. Sebelum dikurung , Goh dibelasah ‘lembik’ seperti kain buruk, semua guru diam, tidak membantah dan tidak juga menyokong.

Goh terkenal sebagai ‘taiko’ muda di sekolah dengan jaringan yang meluas didalam dan luar sekolah .Goh gambaran tipikal remaja Lembah Kelang yang teruja dengan gaya hidup samseng Hong Kong yang disensasikan dilayar perak, generasi ‘young and furious’, dadah, bertetak, menebar pesona untuk mengangkangi gadis-gadis genit yang menyihir mata.

“Kamu tengok saya sembahyang, mengapa kamu tidak minat kepada Islam , Islam agama yang baik untuk kamu” ujar saya pada Goh dengan muka yang cemberut.

Goh hidup tanpa tuhan, anak remaja ini merayakan kehidupannya , seranggi mungkin, bebas bagai kelkatu mengintai kerdipan neon malam yang mempersona.

Goh menapak longlai ke Surau, dihujung bangunan sekolah berwajah kolonial, lusuh tapi elegan. Surau itu sebenarnya ‘pot’ saya, tempat melepas lelah setelah penat dengan aktiviti politik diluar sekolah, berlanglang buana ke seluruh negara untuk meruntuhkan hegemoni daulah.

Dengan dua bilik yang selesa untuk mengambil tenaga yang terkuras.Saya menyimpan rapi kuncinya, dengan sejadah lusuh sebagai bantal yang paling mendamaikan mimpi –mimpi rusuh aktivis politik oposisi.

Saya dan pelajar muslim solat zuhor berjemaah. Rutin kami jika saya tidak berkuliah zuhor di Lembah Kelang. Goh seperti taukeh getah kalah judi duduk terperuk dihujung pintu surau.
Terjelepuk sambil membilang jari, matanya terus meliar ke arah kami yang berzikir sebelum berdoa. Mata saya tidak terlepas memandang Goh, sesekali  dia menguap kemalasan. Hati saya jengkel bercampur kasihan.

“ Ustaz, nanti besar saya mahu masuk Islam, boleh ke?”  kata Goh bergetar. Saya merenung jauh kedalam mata sepet goh, seperti angin berlalu, saya tidak melihat ada kesungguhan melainkan untuk mencairkan hati saya, menjinakkan bongkah kemarahan.

“Boleh, nanti kamu belajar dengan kawan-kawan Melayu tentang Islam” jawab saya malas. Goh berkawan rapat dengan budak-budak Melayu, pengaruhnya besar terhadap pelajar menengah rendah.

Beliau pandai memposisikan diri sebagai kesatria barisan hadapan, jika ada acara kecoh bertumbuk maka dialah paling kehadapan.” Dah , pergi balik” herdik saya pada Goh, tergesa-gesa Goh menghilangkan diri, seperti keretapi ekspres malam.

Dia menciut dibelakang pelajar muslim lain. Pelajaran moral hari itu ialah jangan permainkan guru, Goh mendapat pengajaran yang membekas tajam, mungkin untuk seumur hidup. Itu pun , jika beliau tidak pernah diinterogasi pihak polis atas kesalahan jenayah berat.

“Mengapa ustaz mengamuk tadi, Goh buat apa?, memang budak tu selalu cari pasal” tanya Cikgu Zuraidi , anak muda kelahiran negeri ‘cik siti wan kembang’ itu menjaring soalan, menebak punca kekecohan di sekolah hari itu.

Dia guru penyokong tegar reformasi, setia di jalanan di hujung minggu. Sudah kalih dihambat aparat keamanan bertopi merah di Jalan Tunku Abdul rahman.

“Tak, budak itu , mengembek macam kambing kat hujung kelas, nak perli janggut ana la tu, kurang ajar sekali” jawab saya malas.

Bersusun kesalahan Goh sebenarnya jika nak disenaraikan, dia pesalah konsisten undang-undang sekolah.

Mempunyai bakat terpendam dalam menyusun makar paling sarkastik, terbit dari sisi gelap otaknya yang sentiasa merancang. Nanar sekali demi mencuri perhatian warga sekolah.

GOH menjelma kembali

Beberapa tahun selepas menamatkan alam persekolahan, Goh datang menziarahi saya kembali, penampilannya jauh berbeda. Dengan kereta bergengsi dan pakaian yang rapi , anak muda ini berjaya dalam perniagaannya yang pelbagai.

Perkataan yang keluar daripada mulutnya disusun rapi, santun dan bervisi. Goh sentiasa bertanyakan khabar saya pada guru yang lain, jika melawat sekolah.

Saya terharu, rasa tertampar dengan sikap ego dan mazmumah yang menggebu terhadap Goh.Saya gagal sebagai guru muslim untuk seorang pelajar Cina yang luarbiasa nakalnya. Kepongahan tidak membantu dalam berdakwah dan menarik manusia.

Pelajaran moral yang pertama ialah, jangan memandang rendah pelajar kita, apa pun kesalahn dan latar sosial mereka, semua manusia ada potensi untuk berubah dan berjaya dalam hidup.

Hari ini setelah berbelas tahun , saya sangat merindui sosok remaja seperti Goh. Beliau mengajar saya erti guru yang penyabar dan mendepangkan dada serta telinga untuk mendengar.

Kalaulah Goh hari ini menjadi salah seorang anak murid saya di kelas PERKIM setiap Ahad, saya akan tekun mendidiknya untuk menjadi kader dakwah, sayang  kerana saya melepaskan peluang itu belasan tahun yang lalu.

Tololnya saya pada masa itu, tanpa hikmah dunia ini kehilangan sinarnya yang indah meranum.

“Selamat Hari Guru” kepada semua pendidik, saya merindui dunia keguruan, merindui barisan anak murid yang tenang ingin menyerap ilmu. Kalaulah masa boleh diundur, saya tidak akan berdiri sebagai guru yang pongah dan melulu.

**Penulis adalah Exco Dewan Pemuda Pas Pusat, Pendakwah dan Perunding Motivasi

PERUTUSAN HARI GURU PASTI SELANGOR 2010

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
Segala puji-pujian bagi Allah s.w.t Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w penghulu segala anbiyai, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mujahidin yang menegakkan agama Allah hingga akhir zaman, seterusnya pada kaum muslimin dan muslimat warga kerja PASTI.

Di
kesempatan ini, saya mewakili ALP PASTI Negeri Selangormengucapkan “ Selamat Hari Guru” kepada semua guru PASTI Negeri Selangor. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah atas kejayaan PASTI kawasan Kota Raja selaku tuan rumah, MGP dan ajk induk serta pelaksana yang menyempurnakan Pesta Sukan PASTI Selangor yang telah diadakan baru-baru lalu.


"Guru Memimpin Perubahan Ummah” iaitu tema sambutan Hari Guru pada tahun ini, menuntut guru-guru PASTI di alaf baru, khususnya guru-guru PASTI Selangor, berusaha bersungguh-sungguh untuk mendepani segala cabaran terutamanya cabaran pendidikan yang semakin banyakdan terus memperkasakan pendidikan PASTI disamping meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.

Islam sebagai suatu cara hidup yang rahmatan lil ‘alamin memancarkan cahayanya kepada segenap lapisan manusia tanpa mengira usia. Islam menekankan pendidikan hendaklah bermula daripada buaian khususnya dalam membina jati diri sebagai hamba Allah yang sejati. Di PASTI, guru-guru mengambil peranan yang amat berat dan penting di dalam menyemai dan menanamkankekentalan aqidah setiap kanak-kanak bagi melahirkan tunas-tunas Islam dan seterusnya ummah yang berjiwa rabbani.

Saya yakin dengan komitmen dan iltizam serta pengorbanan yang tidak mengenal jemu dan penat lelah , guru-guru akan terus memimpin dan menyempurnakan peranan sertatanggungjawab sebagai pendidik di dalam membina jati diri tunas-tunas Islam agar menjadi anggota masyarakat atau ummah yang mendatangkan manfaat kepada Islam dan umatnya.


Akhirnya, kualiti imani dan amali guru-guru perlu dibugar dan ditingkatkan dari semasa kesemasa agar sentiasa hampir dengan barakah, pertolongan dan keredhaan Allah s.w.t.


SELAMAT HARI GURU 2010


UST HASBULLAH BIN MOHD RIDZUAN

PENGARAH PASTI NEGERI SELANGOR



sumber:http://pastinegeriselangor.blogspot.com/