Harakahdaily | |
Saban tahun, detik bersejarah tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ’guru’. Hampir 360,000 golongan pendidik akan diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat, saya ingin mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Guru’ kepada semua barisan pendidik yang telah mencurahkan bakti bagi menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memacu halatuju pendidikan negara. Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik. Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan. Saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan barisan pendidik dari peringkat awal pendidikan kanak- kanak hinggalah ke peringkat IPT. Sudah pasti penghargaan ini ditujukan khususnya kepada golongan wanita yang bergelar ’muslimat’ dan mendominasi bidang pendidikan negara dalam memacu halatuju modal insan agar lahir generasi yang seimbang dan berbahagia di dunia dan akhirat. |