BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, August 24, 2008

Hadiah Teristimewa, kisah benar guru tadika


Kisah Benar...
Pagi 16 Mei 2005, saya dikejutkan dgn beberapa org anak murid yg meluru ke arah saya. Wajah mereka berseri-seri lalu masing-masing menghulurkan bungkusan berwarna-warni. "Cikgu...selamat Hari Guru!" kata mereka bertepuk tangan sambil berlari-lari anak mengelilingi saya. Memang saya terkejut kerana sebelum itu tidak pernah saya khabarkan pada anak-anak murid tentang tarikh sambutan Hari Guru, apalagi mengingatkan mereka. Bagi saya mereka terlalu muda dan belum dapat menilai erti sambutan Hari Guru. Rupa-rupanya saya silap. Tanpa saya menyangka pagi itu meja saya dipenuhi pelbagai jenis hadiah. Hari itu saya rasakan terlalu indah.Saya rasa disanjungi, lalu pipi anak-anak murid saya kucup tanda merghargai pemberian dan ingatan mereka.

"Terima kasih...bagitau ibu, cikgu ucapkan terima kasih, ya!" pesan saya pada Arina lalu satu kucupan singgah dipipi gebunya. Di sisi Arina, saya lihat Mariam tersengih-sengih.

"Cikgu...Mariam pun nak bagi hadiah. Tapi tak bawa hari ni, lupa. Boleh
cikgu, ya?" kata anak kecil itu bersungguh.

"Tak payahlah Mariam. Tak bagi pun tak apa, cikgu bukan minta hadiah, cukuplah Mariam ucap Selamat Hari Guru buat cikgu. Itu pun sudah buat cikgu gembira." Saya cuba memujuknya kerana tidak mahu menyusahkan Mariam dan anak-anak murid yang lain.

Sebagai cikgu, saya tahu serba sedikit latar belakang keluarga mereka. Kerana itu saya tidak mahu ada di antara anak-anak murid saya yang bersusah payah menyediakan hadiah, lebih-lebih lagi Mariam. Dia bukan anak orang senang, ibu bapa Mariam membesarkannya hanya dengan meraut lidi, mencari daun getah kering lalu menjualkannya. Sebab itu saya tidak mahu Mariam rasa bersalah bila melihat teman-teman yang lain memberikan hadiah sedangkan dia tidak membawa apa-apa. Bagi saya, lebih baiklah duit yang ada itu digunakan oleh ibu bapa Mariam untuk makan minum keluarganya, atau belikan baju baru untuk Mariam buat menggantikan baju yang kusam dan masam dek peluh.

Saya gembira mendidik murid seperti Mariam. Biarpun ibu Mariam sudah lama meninggal dunia namun anak kecil itu masih bertuah kerana ibu tirinya menyayangi Mariam tidak ubah seperti anak kandung sendiri. Buktinya setiap pagi saya lihat anak kecil itu datang ke tadika sambil dipimpin ibunya, berjalan kaki sejauh 2 kilometer setiap hari. Kalau ada yang bersimpati, di tengah perjalanan ada keluarga murid-murid lain akan menumpangkan Mariam. Kalau tidak Mariam akan terus berjalan kaki dalam panas gerimis, pergi dan balik. Begitulah setiap hari.

Esoknya sekali lagi meja saya dipenuhi dgn pelbagai jenis hadiah. Kali ini datang daripada anak-anak murid yang tidak sempat memberikannya semalam. Saya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala bila mana sambutan Hari Guru tahun ini benar-benar meriah. Seperti biasa, pagi itu saya berdiri di hadapan pintu menyambut seorang demi seorang ibu bapa yang datang menghantar anak masing-masing. Di muka pintu sekolah, saya dengar seorang bapa berpesan; "Hadiah tu bagi kat cikgu tau." Tatkala itu saya benar-benar tersentuh kerana saya langsung tidak menyangka cukup dihargai oleh anak-anak murid yang masih kecil usianya. Dari halaman, saya lihat Mariam berpimpinan tangan dgn ibunya. Saya sambut kedua-dua mereka dgn senyuman. Sama seperti pagi-pagi sebelumnya, Mariam tiba di tabika dgn keadaan tubuh yg bermandikan peluh. Bajunya basah namun kanak-kanak itu tetap ceria, tersenyum seperti biasa.

"Cikgu! Mariam bawa hadiah untuk cikgu!" laungnya sambil ketawa.

"Kan cikgu dah pesan, Mariam tak payah bagi cikgu hadiah," kata saya lalu
mengusap rambut Mariam yang bertitisan peluh, dgn rasa kasih yg mendalam.

"Tak apa....hadiah ni best cikgu!" kata Mariam bersungguh-sungguh. Mariam meletakkan begnya di atas meja. Pantas jari-jemari comelnya membuka zip beg sekolahnya yang sudah pudar warnanya akibat dimamah cahaya matahari.

"Sekejap ya cikgu," kata Mariah yang masih tercungap-cungap kepenatan. Saya lihat Mariam mengeluarkan sesuatu dari dalam beg. Dia tersenyum sebaik menghulurkan segumpal surat khabar yang berkecai dalam genggamannya.

"Alaaa...koyak pulak, cikgu !," rungut Mariam penuh kekesalan.

Matanya membulat memandang saya yang masih setia menantinya. Beberapa anak-anak murid yang lain turut berdiri tidak sabar lihat apa yang Mariam keluarkan.

"Apa yang Mariam bawa tu?," saya tanya penuh hairan melihat sesuatu yang bulat dibungkus dengan surat khabar lama.

Saya dekati anak kecil itu lalu menyelak beg yang dibawanya. Di saat itu hati
tiba-tiba menjadi sebak sebaik melihat 5 biji buah bacang bertindihan dengan buku-buku tabikanya. Dada saya ini mula terasa berat, ada air yang mula bertakung dikelopaknya.

"Cikgu ambillah plastik, rumah Mariam tak ada plastik sebab tu mak bungkus dengan kertas. Tapi koyak pulak," katanya lincah sambil sebiji demi sebiji buah bacang dikeluarkannya dari dalam beg sekolah. Gelak tawa kawan-kawannya mula kedengaran namun Mariam masih tersenyum lalu matanya merenung saya dengan pandangan yang cukup sayu.

"Cikgu...cikgu tak suka buah bacang ke?," tanya anak kecil itu bila melihat saya merenung wajahnya dan 5 biji buah bacang yang bergulingan di atas meja. Saya cuba tahan airmata supaya tidak mengalir. Terlalu sebak rasanya.

"Takkkk..cikgu...cikgu suka sangat. Balik nanti cikgu buat sambal belacan ya," kata saya, perlahan. Suara saya bagai tersekat di kerongkong. Dapat saya lihat anak kecil itu mengukir senyum. Saya peluk tubuhnya yang masih bermandikan peluh. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana anak kecil itu membawa 5 biji buah bacang sambil berjalan kaki sejauh 2 kilometer. Saya kucup pipinya beberapa kali lalu tidak henti-henti ucapan terima kasih saya bisikkan ke telinga Mariam.

"Bagitau mak...cikgu suka buah bacang. Terima kasih, ya," ucap saya lagi. Anak kecil itu mengangguk.

"Tengok, Mariam pun bagi hadiah kat cikgu jugak," katanya kepada kawan-kawan sambil tersenyum riang.

"Eleh...buah bacang bukan hadiah. Orang bagi hadiah kena bungkus lawa-lawa, bukan dengan kertas koyak." kata seorang anak murid yang masih tidak mengerti nilai sebuah hadiah yang sebenar-benarnya.

"Tak apa...semua hadiah cikgu suka. Balut lawa atau tidak semuanya sama. Cikgu sayang semua anak-anak murid cikgu," saya ucapkan kata-kata itu agar hati dan perasaan anak sekecil Mariam tidak terguris.

Dapat saya lihat Mariam sekali lagi ketawa lalu bertepuk suka. Beberapa titis airmata yang sejak tadi saya tahan, akhirnya tumpah dipipi. Cepat-cepat saya mengesatnya bimbang anak-anak kecil yang suci dan bersih itu perasan kerana mereka belum dapat menyelami perasaan seorang insan yang bergelar guru. Buah bacang pemberian Mariam itu saya bawa pulang dengan perasaan bangga bercampur hiba. Walaupun ia hanya 5 biji bacang, tapi hadiah itu amat istimewa. Wajah Mariam, bajunya yang dibasahi peluh dan senyumannya yang ikhlas bermain-main diruang mata saya. Tengah hari itu sambal belacan buah bacang menjadi santapan kami sekeluarga dan semasa menelannya, beberapa titis airmata ini tumpah lagi ke pipi. Terima kasih Mariam. 5 biji bacang itu merupakan hadiah paling bermakna
buat cikgu dan cikgu tidak akan lupakan sampai bila-bila.

Cikgu Rokiah - Kulim, Kedah.

0 comments: